“Allah menguji hambanya dengan ujian kesusahan dan keperitan hidup adalah untuk menjadikan mereka itu lebih kuat berjiwa kental. Allah juga memberi kesenangan kepada sesetengah hambanya adalah supaya mereka dapat membantu hamba lain yang susah. Jadi jangan terasa hina untuk menerima dan kedekut untuk memberi.”

- Sedutan Cerpen Syukurlah, Sabarlah, Solatlah.. -

Saturday, March 26, 2011

Maruah dan populariti

Julia tidak dapat melelapkan matanya pada malam yang penuh bermakna baginya. Manakan tidak, kebanyakan artis dan penerbit menegurnya pada malam itu, malah jurukamera tidak putus-putus mengambil gambarnya. Semua rancangannya nampak berjalan lancar.

Keesokan harinya Julia bangun agak lewat memandangkan semalam fikirannya penuh dengan impian kejayaan yang bakal menyusul. Sambil sarapan Julia membaca akhbar yang dilanggannya setiap hari. Biasanya budak yang menghantar akhbar akan melemparkan akhbarnya betul-betul jatuh depan pintu.

Tiada sebarang berita tentangnya, cuma banyak berita tentang malam anugerah yang gilang-gemilang diadakan semalam.

Oleh kerana tidak puas hati, Julia terus membuka komputer dan membaca status terkini di Facebook.  Seperti yang dijangkanya banyak 'tag' yang dia dapat sama ada gambar mahupun laman web yang bercerita tentangnya. Semua isi laman web itu mengutuknya kerana berpakaian menjolok mata. Dalam sekelip mata Julia merasakan dia seolah-olah tersohor di Malaysia malah mungkin seluruh Asia.

Dia tahu yang mungkin seluruh rakyat Malaysia akan mengenalinya selepas ini walaupun dia dikaitkan dengan cerita tidak elok.

Bagi Julia pengorbanan yang dilakukan dengan memperjudikan maruahnya itu sangat berbaloi. Ya, berbaloi dengan populariti yang dia dapat dalam sekelip mata.

"Aku berjaya!"

Friday, March 25, 2011

Jadi artis terkenal

Julia membelek-belek gaun ketat yang dipakainya di hadapan cermin. Gaun yang berwarna coklat itu memiliki warna hampir sama dengan kulitnya. "Nampak cantik tapi agak seksi di bahagian dada." getusnya dalam hati.

"Tapi takpe sebab ini adalah pengorbanan yang perlu aku buat untuk menjadi artis terkenal sekelip mata." Katanya sambil tersengih melihat dirinya di dalam cermin.

Tanpa berlengah dia terus turun ke lobi hotel dan disambut oleh pemandu kereta yang akan membawanya  ke majlis anugerah gilang gemilang di Arena of Stars, Genting Highlands. Mata pemandu kereta tidak berkelip melihat bahagian tubuhnya yang terdedah itu. Julia tersenyum sinis.

Sesampainya di sana, pintu kereta dibuka oleh pegawai yang menjaga laluan karpet merah dan Julia pun keluar daripada kereta dengan perasaan bangga. Sebaik sahaja kelibatnya dilihat oleh wartawan dan jurukamera maka berduyun-duyun jurukamera mengambil gambarnya. Julia mengambil kesempatan ini bergaya dengan pelbagai posisi yang dirasakan hebat.

Majlis anugerah berlansung dengan jayanya. Walaupun Julia tidak memenangi apa-apa anugerah. tetapi dia merasakan seperti antara pemenang pada malam itu memandangkan rancangannya nampak berjaya. Manakan tidak, setiap mata memandang ke susuk tubuhnya yang mengenakan fesyen yang tidak pernah dipakai artis tempatan.

"Aku berjaya!" 

Thursday, March 24, 2011

Bunuh diri

Si gadis duduk di birai bangunan paling atas KB Mall, dia merenung masa depannya tanpa menyedari ada tangan yang cuba memegangnya dari belakang. Dalam pemikiran si gadis hanya tinggal satu jalan penyelesaian sahaja untuk masalah yang menyerabutkan kepalanya. Masalah emak dan ayah bergaduh, kekasih nak putuskan hubungan dan keputusan peperiksaan SPM yang agak teruk.

Semua masalah ini cukup untuk dijadikan hujah dia mengambil keputusan penting ini. Tiba-tiba satu tangan memegang lengannya dari belakang. dia cuba untuk meronta tetapi gagal. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk menjatuhkan tubuhnya daripada bangunan tinggi KB Mall. Usahanya itu gagal kerana tangannya dipegang erat oleh seorang lelaki yang berpakaian seragam Anggota Bomba.

Wednesday, March 23, 2011

Jihad ekonomi

Beliau terkenal dengan 'trademark' rambut putih. Macam pengasas KFC Colonel Sanders. Dasar pemikiran beliau ialah jihad ekonomi. Impian hidup beliau ialah untuk melihat orang Islam maju dalam bidang ekonomi macam orang bukan Islam. Beliau sedar yang setiap cabang dan bidang ekonomi dikuasai orang bukan Islam. Bukan kerana orang Islam ditekan tetapi kerana cara pemikiran orang Islam yang lemah dan tidak minat dengan perniagaan

Tetapi bab kata pepatah, air tidak boleh bercampur dengan minyak dan itulah yang berlaku kepada beliau. Beliau dibuang dan dihalau dari lembaga pengarah. Empayar yang dibina selama lebih 20 tahun terpaksa ditinggalkan kerana arahan pihak atas yang tidak suka dengan pendekatan beliau yanag berbentuk jihad ekonomi.

Pihak atasan hanya suka kepada mereka yang kaki ampu dan pentingkan kroni. Pihak atasan hanya mahu segelintir individu sahaja yang kaya. Walaupun dalam media massa berdegar-degar memberi syarahan yang mereka akan membangunkan nasib anak bangsa, tetapi hakikatnya Allah yang tahu.

Itulah nasib pejuang agama dan bangsa. Tetapi sejarah mengajar segalanya, setiap kejayaan perlu pengorbanan. Mungkin ini pengorbanan beliau untuk menyedarkan anak cucu siapa musang berjanggut sebenarnya.

Tuesday, March 22, 2011

Selamat hari lahir ibu

Hari lahir ibu baru sahaja disambut. Mungkin bagi sesetengah orang tiada makna apa pun sambutan hari jadi tetapi dalam setahun kita sepatutunya kena pilih beberapa hari istimewa untuk disambut bersama keluarga. Bukan setakat akan membahagiakan kita tetapi akan mengeratkan tali perhubungan antara keluarga.

Satu ketika dulu tiada istilah menyambut hari jadi dalam hidup keluarga Alan. Tetapi, setelah anak-anak membesar dan berkawan dengan ramai jenis manusia, maka Alan dan adik beradik yang 'sporting' cuba merubah suasana ini. Kenapa? Kerana nikmat kebahagiaan yang dirasai dan perasaan untuk terus merasainya.

Apa aktiviti paling ditunggu ya?
Mestilah suap kek ke mulut ibu dan bergambar. Semoga tradisi ini diteruskan sampai Alan tua.

Monday, March 21, 2011

Amalan nenek

Kematian nenek memberi seribu satu pengajaran buat Alan. Selepas melihat sendiri pemergian nenek yang senang dan urusan pemgebumian yang berjalan lancar membuatkan Alan tertanya-tanya, apakah amalan nenek ketika hidupnya?

Antara amalan yang aku ingat ialah nenek suka membaca Al-Quran. Setiap hari mesti baca Al-Quran selepas subuh dan sebelum tidur. Jika tidak membuka kitab Al-Quran pun mulut nenek tetap terkumat kamit membaca ayat Al-Quran sambil baring. Bulan Ramadhan paling jelas sebab masih Alan ingat nenek pernah khatam 2 kali pada bulan Ramadhan.

Nenek juga selalu suruh anak cucunya mengamalkan ayat Al-Quran tertentu untuk diamalkan. Ada yang Alan amalkan dan ada yang Alan lupa amalkan. Biasalah, orang muda.

Sunday, March 20, 2011

Hari kematian nenek

Masih Alan ingat hari kematian nenek yang pergi dengan tenang. Nenek meninggal pada waktu malam selepas maghrib pada hari jumaat. Pada pagi itu nenek yang terlantar meminta untuk dimandikan kerana katanya ada saudara ingin melawatnya petang ini. 

Selepas ditanya siapakah dia nenek mengatakan dia lupa nama tetapi ingat akan wajahnya. Oleh kerana sejak akhir-akhir ini ramai saudara mara yang datang melawat maka Alan pun tidak bertanya lanjut.

Alan membantu mengangkat nenek ke tandas untuk dimandikan memandangkan kudrat lelaki lebih kuat berbanding wanita. Selepas siap dimandikan nenek meminta untuk dipakaikan kain batik yang baru kerana ada saudara ingin datang melawatnya petang itu. Permintaan nenek dituruti tanpa bertanya banyak soalan. 

Saudara yang datang melawat tidak putus-putus sejak tengah hari. Dalam ramai-ramai yang datang melawat itu ada seorang mak cik yang agak rapat hubungannya dengan nenek datang mendekati Alan dan mengatakan: "Nenek tu mungkin dah tak lama tu, jangan berhenti mengaji Al-Quran kat tepi nenek. Ajarlah mengucap kat tepi telinga nenek sekali sekala. Jangan biar nenek keseorangan. Biar dia sentiasa ingat Allah."

Kata-kata mak cik itu membuatkan Alan terasa pelik, tetapi tidak mempersoalkan kata-katanya memandangkan dia agak dihormati di kampung tu.

Menjelang petang, oleh kerana kesibukan melayan tetamu lansung tiada siapa dikalangan anak dan cucu bertanya tentang orang yang nenek nantikan. Sudah datangkah dia?

Selepas maghrib hanya tinggal anak dan cucu sahaja disekeliling nenek mengaji Al-Quran. Dan pada waktu itulah nafas nenek dah turun naik dan menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan diajar mengucap 2 kalimah syahadah.

Selepas selesai upacara pengebumian maka ahli keluarga berbual mengenangkan nenek dan timbul persoalan siapakah gerangan orang yang nenek nantikan pada petang itu.

Mungkingkah nenek sebenarnya sudah merasai yang Malaikat Maut akan datang menjemputnya pada hari itu. Tiada siapa yang tahu. Hanya Allah yang tahu. Semoga ruh nenek dicucuri rahmah Allah, Al-Fatihah.

Saturday, March 19, 2011

Nenek yang kusayang

Alan ada seorang nenek yang menjaga Alan sejak dari kecil hinggalah masuk sekolah rendah. Dia seorang yang pandai mendidik dan mendisiplinkan cucu. Hasil didikan nenek semua cucunya jadi pandai menjaga adab di hadapan tetamu dan tidak pentingkan diri.

Sampai sekarang setiap apa yang Alan buat mesti memikirkan kesan kepada orang lain walaupun kadang-kadang ada juga buat silap.

Sekarang nenek sudah tiada. Tetapi kenangan yang ada sangat kukuh terpahat. Setiap kali Alan jumpa adik  dan kakaknya mesti berbual pasal Arwah nenek. Semua tindakan nenek menjadi bualan terutama masakan nenek yang sedap.

Kerja nenek masa hidupnya ialah seorang penoreh getah, penanam padi dan guru Al-Quran. Nenek tak pernah meminta upah untuk mengajar Al-Quran. Tetapi budak yang mengaji akan membawa barang dapur seperti gula dan beras sebagai balasan nenek mengajar mereka mengaji.

Hasil usaha nenek kerja kampung dapat juga pergi ke Mekah bersama atuk. Itulah yang dipanggil rezeki yang berkat. Nampak hasil sikit tetapi cukup untuk melaksanakan rukun Islam kelima.

Walaupun kerja kampung tetapi banyak juga tanah dan barang kemas untuk diwarisi anak-anak. Kadang-kadang pelik bila fikirkan hasil yang nenek dapat. Tanpa hutang dengan bank dan kerja kampung dapat juga buat rumah dan pergi Mekah, malah hasil itu jika dihitung lebih banyak berbanding sesetengah orang yang kerja kerajaan di bandar dan bergaji tetap.

Setiap kali teringatkan nenek, Alan mesti akan baca Al-Quran untuk disedekahkan. Semoga pahala nenek berterusan hasil daripada mengajar mengaji Al-Quran.

Friday, March 18, 2011

8 hari pencerahan

"Kenapa aku buat macam ni?"
"Kenapa aku pilih jalan ini?"
"Berhasilkah usaha aku ini?"
"Betulkah tindakan aku ini?"

Ini antara soalan yang selalu bermain di fikiran Alan. 8 hari tanpa kemaskini blog yang baru sebulan jagung ini cukup untuk membuatkan Alan berfikir kembali tentang masa depannya.

Persoalan sebegitu selalu bermain di fikiran Alan dikala jatuh. Alhamdulillah jawapan juga selalu datang dan membuatkan Alan lebih utuh dengan jalan yang dipilihnya itu.

Ternyata disiplin memainkan peranan dalam menentukan kejayaan Masa depan. 8 hari untuk disiplinkan diri memberi seribu makna untuk terus mara.

Hari ini bermula langkah gagah setelah 8 hari menapak. Alan Rizque akan terus menyinar.

Wednesday, March 9, 2011

Mencipta kerja

Selain daripada istilah mencari kerja ada satu lagi istilah lain iaitu mencipta kerja.

Alan selalu mengikuti kisah mereka yang suka mencipta kerja dan berjaya. Mereka ini digelar usahawan ataupun ahli perniagaan. Kerja yang mereka lakukan semestinya mereka minat. Selain daripada mencipta kerja untuk diri sendiri, ada yang mampu memberi kerja kepada orang lain. Begitu besar jasa mereka.

Alan pun ada cita-cita untuk tergolong dalam golongan itu. Alan sekarang dalam usaha ke arah itu. Sebabnya bukan semudah teori untuk sampai ke puncak. Setiap pelaksanaan tidak semuanya berjaya. Paling penting ialah semangat untuk terus belajar dan tidak mengenal erti putus asa.

Tuesday, March 8, 2011

Nikmat selepas penat

Semakin hari semakin banyak kerja untuk diselesaikan terutama mereka yang menuju ke puncak. Malas dan bertangguh kerana merasakan masih banyak lagi masa adalah penghalang utama kepada menyiapkan kerja.

Alan sendiri tidak terlepas daripada tabiat buruk itu. Soalan yang selalu bermain di fikiran Alan setiap kali tibanya waktu malam ialah, "Apa yang perlu dilakukan untuk memastikan senarai kerja setiap hari dapat dipenuhi?" Soalan ini terpancul selepas melihat banyak senarai kerja yang gagal disiapkan setiap hari.

Akhirnya Alan terfikir satu idea. Cara yang paling mudah untuk atasi masalah ini ialah set minda dengan memikirkan nikmat selepas penat bekerja.

YA! bagi mereka yang melakukan kerja yang disukai dengan bersungguh-sungguh setiap hari, nikmat selepas penat bekerja sangat mengasyikkan. Mereka akan mula merasa ketagih selepas melakukannya setiap hari. Sebab itu mereka akan terus mencapai kejayaan dalam hidup.

Fikirkan nikmat itu nescaya semua kerja akan dapat disiapkan mengikut jadual. Setakat ini banyak kerja yang Alan dapat siapkan setiap hari, Alhamdulillah.

Monday, March 7, 2011

Tulang empat kerat

"Payah nak dapat kerja sekarang ni, ekonomi gawat."
"Sudah banyak kali pergi temuduga, tetapi tiada surat tawaran diterima. Terpaksalah menganggur."
"Kerja apa la yang ada sekarang ni pakcik, ini saja yang saya mampu buat."
"Saya tiada kelulusan, siapa la yang nak ambik saya bekerja?"

Kata-kata di atas sering didengari oleh mereka yang mengeluh tentang pendapatan yang terhad. Alan selalu berpegang pada kata-kata gurunya: "Allah memberi nikmat tulang empat kerat, tubuh badan yang sihat dan akal yang waras. Adakah masih tidak cukup untuk kelebihan itu untuk kita melata di muka bumiNya mencari rezeki?" Tanya cikgu Karimi.

Jawapan kepada soalan cikgu yang terlintas di benak Alan ialah mungkin minda kebanyakan kita suka bergantung kepada orang, malas berfikir kreatif mencipta kerja sendiri dan malas bergerak untuk melaksanakan perancangan yang ada. Jika ada tubuh badan yang sihat dan akal yang waras maka tiada alasan untuk tidak maju. Jangan salahkan takdir jika kita sendiri mahukan takdir sebegitu berlaku kepada kita. 

Memang mulut kita mengatakan, "Aku tidak mahu nasib sebegini." Tetapi tindakan kita menafsirkan seebaliknya. Alan juga pernah macam ini satu ketika dahulu.

Jadi, pesan untuk diri Alan ialah jangan mudah mengaku kalah. Jangan mudah menyalahkan takdir. Usaha dan usaha selagi tulang empat kerat ini masih ada.

Sunday, March 6, 2011

Jangan lari

Cara yang paling cepat untuk selesaikan msalah ialah dengan melarikan diri daripada masalah. Elak berhadapan dengan masalah. Lari jauh-jauh.

Tetapi Alan, adakah itu jalan penyelesaian terbaik? Mungkin jawapannya YA untuk situasi tertentu. Untuk banyak situasi, kita perlu berhadapan dengan masalah dan selesaikan dengan elok, bawa berbincang. Alan pun pernah rasai nikmat menyelesaikan masalah. Jadi kenapa perlu lari?

Masalah sebenarnya akan selesai jika kita berhadapan dengannya. Kalau kita lari daripada masalah, macam mana nak selesaikannya? Walaupun mungkin kita akan terhindar untuk seketika tetapi lambat laun masalah itu akan menghantui hidup kita.

Kita akan terkenang bila tiba waktunya. Alan menulis ni seolah-olah pernah laluinya kan? =)

Saturday, March 5, 2011

Jangan!

Setiap masalah yang wujud mesti akan ada jalan penyelesaian, kalau tidak, manakan kita dapat hidup sampai sekarang.

Jadi Alan, bertenang...bertenang...dan jangan fikir negatif...buang jauh-jauh fikiran negatif itu wahai Alan.

Walaupun Alan baru sahaja membaca mesej yang merunsingkan jiwa tetapi apabila jiwa tenang, akan datang dalam minda kreatif ini jalan penyelesaian yang bertubi-tubi. Lagipun Alan bukan tidak pernah berhadapan dengan situasi begini.

Kuncinya ialah bertenang dan ingat Allah banyak-banyak. Alhamdulillah, sampai saat ini Alan berada dalam keadaan tenang dan bersemangat untuk menyelesaikan masalah ini dengan daya usaha tulang empat kerat yang masih sihat. 

Bersyukur...Alhamdulillah.

Friday, March 4, 2011

Buang jauh-jauh

Orang yang berjaya ialah mereka yang mampu berfikir secara positif setiap waktu terutama waktu getir. Patut pun mereka digelar orang yang hebat sebab mereka masih mampu berfikir positif sewaktu dilanda kesusahan.

Alan juga tidak terlepas daripada waktu getir ini. Apa yang terhidang di depan mata berbentuk bukti kegagalan seperti surat saman, hutang dan bil kadang-kadang menggugat keyakinan diri untuk berjaya.  Alan tahu cara yang terbaik ialah dengan mengenepikan semua itu dari kotak pemikiran dan menukarnya kepada bentuk harapan yang "Aku akan berjaya!".

Ya, menukar benda negatif di depan mata kepada bayangan positif di dalam minda bukan suatu perkara yang senang. Tetapi itulah yang perlu Alan buat jika ingin berjaya.

Pemikiran positif ini mampu menggerakkan kaki tangan dan idea untuk berjaya. Kekalkan motivasi dengan buang jauh-jauh benda negatif yang berada di sekeliling dan dalam minda. tukarkan kepada benda yang positif supaya harapan itu bertukar menjadi keyakinan seterusnya melakar kejayaan. Inilah yang Alan pegang setiap kali berada dalam keadaan goyah.

Thursday, March 3, 2011

Mencari Kekuatan

Alan perlu ada motivasi setiap hari untuk terus menulis. Membaca kisah orang berjaya sedikit sebanyak memberi kekuatan untuk terus bergerak ke hadapan.

Setiap impian yang tinggi, perlu lalui banyak onak dan duri. Semakin tinggi impian semakin besar cabaran. Kadang-kadang cabaran itu bukan datang dari luar tetapi ada dalam diri sendiri seperti malas, suka bertangguh dan tiada keyakinan diri. Cabaran ini boleh diatasi jika kita mengenepikan pemikiran negatif 100%, tapi bagaimana?

Orang kata, "Sentiasa bergaul dan berkawan dengan orang yang berjaya".
Orang lain kata, "Baca buku-buku kejayaan individu hebat".

Semuanya betul dan jika kita dapat laksanakan kedua-duanya lagi bagus. Donald Trumph juga memastikan dia membaca buku setiap hari untuk mengekalkan motivasi untuk terus berjaya. Alan bagaimana? Anda bagaimana?

Masih terus mencari kekuatan...

Wednesday, March 2, 2011

Langkah Pertama

Setiap kejayaan bermula dengan langkah pertama. Tanpa langkah pertama tiada kejayaan atau kegagalan.

Sejak daripada sekolah lagi Alan mudah terpengaruh dengan buku yang dibacanya terutama novel pengembaraan. Tanpa disedari, walaupun bertahun sudah berlalu dan kini sudah memasuki alam pekerjaan, dia masih ada minat tersebut.

Jadi, disinilah dia bermula. Menjadi tukang cerita di alam maya untuk mengasah minatnya sebagai penulis.

Bertemankan papan kekunci, dia tidak takut melakukan kesilapan dan terus maju walaupun dikritik.

Di sinilah segalanya bermula. Alan Rizque sebagai tukang cerita.