“Allah menguji hambanya dengan ujian kesusahan dan keperitan hidup adalah untuk menjadikan mereka itu lebih kuat berjiwa kental. Allah juga memberi kesenangan kepada sesetengah hambanya adalah supaya mereka dapat membantu hamba lain yang susah. Jadi jangan terasa hina untuk menerima dan kedekut untuk memberi.”

- Sedutan Cerpen Syukurlah, Sabarlah, Solatlah.. -

Friday, April 8, 2011

Barang lama

Pagi itu muka Puan Amelia terus berubah kemerahan menahan marah sebaik sahaja Rashid masuk berjumpanya dalam pejabat.

"Awak ni tidak amanah dalam menjaga harta Syarikat! Sepatutnya awak jaga elok-elok laptop ni, sampai ke tangan awak je terus rosak. Baru seminggu awak guna."

"Nak buat macam mana puan, saya dah jaga sehabis baik laptop ni. Tetapi entah macam mana bila saya guna semalam tiba-tiba terpadam dengan sendiri. Puas saya tekan tetapi tak hidup juga." balas Rashid.

"Sekarang ni awak kena baiki sampai ok. Saya tak nak dengar sebarang alasan." tegas Amelia.

Amelia merupakan seorang pengurus bahagia IT di Syarikat Elmond Corporation. Syarikat ini bertanggungjawab dalam membekalkan sistem keselamatan elektronik di pejabat-pejabat seluruh semenanjung Malaysia.

"Saya dah cuba bawa ke 7 buah kedai komputer tetapi semua cakap barang ganti tidak ada di pasaran." tegas Rashid.

"Lagipun, bukan salah saya laptop ni rosak. Takde pulak saya jatuhkan laptop ni ataupun selam laptop dalam air. Tiba-tiba je tak hidup dan laptop ni sememangnya sudah lama. Semua perisian yang saya guna sangat lembab. Kalau Puan jual di kedai pun memang tak laku sebab takde siapa yang nak barang lama." tambah Rashid.

"Barang lama.." keluh Amelia dalam hati.

Apabila perkataan 'barang lama' singgah ditelinganya, terus fikiran Amelia melayang teringat masalah getir yang dihadapinya. Walaupun kerjayanya dikatakan berjaya, tetapi kehidupan peribadinya gagal terutama dalam membina keluarga. Umurnya hampir mencecah 40 tahun tetapi masih belum berpunya. Emak dan Ayah dikampung termasuk saudara mara selalu bertanya tentang perkara ini. Sampaikan Amelia kadang-kadang tertekan untuk balik kampung.

Amelia tahu dia seorang yang garang, tegas dan kuat bekerja. Tetapi itu semua tidak boleh dijadikan alasan untuk jodohnya kerana Amelia tahu jodoh pertemuan itu ditangan tuhan. Kita manusia hanya mampu berusaha.

"Puan Amelia, kenapa ni?" tanya Rashid.
"Saya minta maaf kalau kata-kata saya tadi nampak macam biadap."

"Takpe Rashid, ada betulnya juga kata-kata awak. Pergi jumpa Hani dan bagi laptop rosak tu kat dia. Selepas itu isi borang untuk ambil laptop lain." jawab Amelia.

"Terima kasih Puan Amelia."

Wednesday, April 6, 2011

Pengampu yang berjaya

Halim baru mendapat sepucuk surat daripada pihak pengurusan. Selepas membuka surat itu dia terus menjerit, "YES!".

"Kenapa Halim?" tanya Zairul.
"Aku dapat anugerah pekerja cemerlang untuk tahun lepas Rul."
"Tak sangka baru kerja setahun lebih dah dapat anugerah, aku yang dah kerja 3 tahun ni pun tak dapat apa-apa anugerah lagi" Balas Zairul.

"Tu la engkau, lain kali berguru la dengan aku kalau nak dapat anugerah ni. Haha.."

Tengah harinya, Halim keluar makan dengan penuh kegembiraan. Hairannya tiada seorang pun rakan sekerja yang mengucapkan tahniah kepadanya sewaktu terserempak di gerai. Setakat ni Tuan Badrul bosnya sahaja yang mengucapkan tahniah kepadanya.

Mana tidaknya, siapa yang tak kenal dengan Halim, seorang yang suka ponteng waktu kerja dan kerja yang dibuat tak pernah siap. Paling teruk amalan yang dia selalu buat ialah datang kerja seawal 7 pagi untuk pastikan punch card dia bersih dan hampar kotak untuk tidur bawah mejanya. Kadang-kadang pukul 11 baru bangun.

Semua rakan sekerjanya tahu perangai dia, sebab itu mereka menyampah apabila dapat tahu Halim dapat anugerah pekerja cemerlang.

Tuan Badrul bukan tak tahu prestasi kerja Halim, tetapi oleh kerana Halim ni pandai mengampu bos, maka kesalahannya jadi tak nampak.

Keesokan harinya Tuan Badrul bertanyakan kelibat Zairul. Semua perkerja jawab tak tahu. Apabila Tuan Badrul tengok rekod punch card Zairul, dia datang seawal 7 pagi lagi. Selepas puas mencari maka Tuan Badrul pun pergi ke meja Zairul.

Alangkah terkejutnya dia apabila melihat Zairul merengkok tidur bawah meja. "Hoi Zairul! Ini bukan rumah tempat kau tidur, ini pejabat tempat bekerja!" Jerkah Tuan Badrul.

Zairul bangun dengan terpinga-pinga, "Maaf Tuan, saya sebenarnya ingin mendapat anugerah pekerja cemerlang tahun depan, sebab tu saya ikut apa yang pekerja cemerlang selalu buat."

"Awak ikut saya masuk pejabat, sekarang!" Balas Tuan Badrul yang terasa dengan kata-kata Zairul.

Sunday, April 3, 2011

Cuci mata

Alan memandu dengan mengantuknya melalui jalan yang sesak di Bukit Bintang. Sesampai sahaja di cabang empat Bukit Bintang antara bangunan Lot 10 dan bangunan Yayasan Selangor sekali lagi lampu isyarat bertukar merah. "Argh!" rengus Alan sambil tangannya menghentak stereng. "Kalau macam ni bila la kau nak sampai rumah?" Tanya Alan kepada dirinya sendiri.

Dihadapan kereta Alan segerombolan pejalan kaki melintas jalan sebaik sahaja semua kereta berhenti kerana lampu merah. Alan memerhati mereka melintas dihadapannya.

Tiba-tiba mata Alan terbeliak! Apa tidaknya, seorang wanita mendukung anaknya berpakaian sangat seksi Hingga boleh menampakkan bentuk yang sepatutnya tidak nampak oleh orang luar. Mata Alan terus mengekori gadis itu melintas jalan di hadapan keretanya.

"Dah ada anak pun masih seksi?" Tanya Alan sekali lagi kepada dirinya.

"Astaghfirullah!" Tiba-tiba Alan teringat yang dia sebenarnya sedang membuat dosa. Mungkin Malaikat sudah mencatit dosa yang dilakukannya sebentar tadi. Alan beristighfar beberapa kali.

Hakikatnya Alan sudah biasa melihat ramai wanita berpakaian seksi sekitar KL, tetapi kadang-kala hati lelakinya terjerat dek kecantikan tubuh dan wajah wanita yang berpakaian seksi dan hanyut dengan godaan itu. Inilah ujian yang perlu dihadapi Alan setiap hari.

Rasa mengantuk Alan tadi sudah hilang akibat aktiviti cuci mata yang dilakukan sebentar tadi. Alan terus memecut laju sebaik sahaja lampu hijau menyala. Dalam fikirannya masih tertanya-tanya kenapa wanita suka berpakaian seksi, sedangkan tindakannya itu sebenarnya menyeksa jiwa muda lelaki yang belum berkahwin. 

"Ujian..ujian.." rungut Alan dengan redha.