“Allah menguji hambanya dengan ujian kesusahan dan keperitan hidup adalah untuk menjadikan mereka itu lebih kuat berjiwa kental. Allah juga memberi kesenangan kepada sesetengah hambanya adalah supaya mereka dapat membantu hamba lain yang susah. Jadi jangan terasa hina untuk menerima dan kedekut untuk memberi.”

- Sedutan Cerpen Syukurlah, Sabarlah, Solatlah.. -

Monday, October 10, 2011

Komisyen (4)

Semasa dalam perjalanan pulang ke rumah, fikiran Alan terus melayang memikirkan perbualannya dengan Toriq di kedai Mamak sebentar tadi. Apakah betul masih ada kakitangan keselamatan yang ambil duit kopi walaupun SPRM diwujudkan?

Mungkin tekanan hidup di kota ni dengan keinginan memiliki gaya hidup yang mewah membuatkan ramai orang sanggup terima duit rasuah walaupun haram.

"Apa kaedah yang praktikal ya untuk mengatasi masalah ni?" Soal Alan dalam hati.

Dalam keadaan menunggu lampu isyarat bertukar hijau di jalan Raja Laut Alan dapat memerhati pelbagai ragam dan gaya manusia melintas jalan di hadapannya.

Semua manusia ini akan merasai saat kematian termasuk aku. Sungguh tidak kekal hidup di dunia. Segala kemewahan akan ditinggalkan. Kenapa dunia juga yang dikejarkan tanpa memikirkan soal hidup selepas mati?

"Nauzubillah.." Perkataan yang selalu keluar daripada mulut Alan untuk minta dijauhkan daripada perkara buruk dan jahat.

Tabiat Alan yang suka berfikir ketika memandu memang wujud sejak sekian lama. Memang sangat membantu untuk hilangkan perasaan mengantuk tetapi kadang-kadang boleh membuatkan hilang fokus terutama kalau terlampau berfikir.

"Bahaya..bahaya.."Itulah perkataan yang terkeluar apabila teringatkan dirinya yang pernah hampir kemalangan akibat terlampau asyik berfikir.

"Mungkin aku perlu tanya Toriq keadaan di negara Pakistan tentang isu rasuah ni. Adakah di negara Pakistan lagi berleluasa rasuah tanpa dibendung? Menurut cerita yang aku dengar kat sana lagi teruk la rasuah." Getus Alan dalam hati.

Setelah kesimpulan telah dibuat untuk sesi berfikir ketika memandu kali ini maka fokusnya sekarang lebih tertumpu untuk cepat sampai di rumah. Motor kesayangannya itu terus dipecut laju sebaik sahaja keluar daripada kesibukan di tengah kota KL.

Saturday, October 8, 2011

Komisyen (3)

Alan dan Toriq yang masih dalam keadaan terkejut dan berdebar, hanya mampu berdiam diri sepanjang perjalanan ke AirPeak Tech untuk mesyuarat. 

Selepas habis mesyuarat dan sudah melebihi waktu pejabat, Toriq mengajak Alan untuk minum di kedai mamak berdekatan pejabat mereka. Alan terus sahaja bersetuju memandangkan dia tiada janji mahupun komitmen petang itu.

"Bagi saya teh tarik dan roti telur satu." respon Alan pada pelayan.

"Saya pun sama." sahut Toriq.

"Apa cerita ajak aku minum ni?" Tanya Alan.

"Saja je, lagipun lama kita tak berbual panjang."

Setelah lama terdiam menunggu pesanan yang masih belum sampai, Toriq pun memulakan cerita.

"Sebenarnya selalu terjadi macam ni. Kalau terserempak dengan peronda memang mereka mudah cam orang asing memandu kenderaan terutama motor. Lagipun aku pakai topi keledar yang visor nampak dalam. Mungkin lepas ni aku kena tukar yang visor gelap sikit."

"Itulah, aku pun cuak juga tadi. Pertama kali kena sekat dengan kereta peronda. Lepas tu siap bawa senjata automatik lagi." Tambah Alan.

"Sudah banyak kali aku kena sekat dengan peronda terutama sebelum aku mohon lesen tempatan."

"Habis tu duit gaji kau habis kena bayar saman beratus ringgit la?"Tanya Alan.

Perbualan mereka terhenti seketika apabila pelayan kedai mamak membawa tempahan makanan ke meja.

Selepas menghirup teh tarik yang menjadi ketagihan Toriq maka dia terus menjawab soalan Alan.
"Tak la banyak habis sebab setiap kali kena sekat aku bagi duit kopi untuk mereka. Mujur mereka terima, mungkin mereka perlukan duit lebih. Maklumlah hidup di KL ni maintenance tinggi. "

"Biar betul Toriq! Engkau jangan nak main fitnah je."

"Eh, betullah. Tidak la semua peronda terima duit kopi tetapi ada la yang terima. Lagipun diorang mudah terima benda ni daripada orang asing sebab orang tempatan banyak risiko takut nanti dilaporkan kepada pencegah rasuah."