“Allah menguji hambanya dengan ujian kesusahan dan keperitan hidup adalah untuk menjadikan mereka itu lebih kuat berjiwa kental. Allah juga memberi kesenangan kepada sesetengah hambanya adalah supaya mereka dapat membantu hamba lain yang susah. Jadi jangan terasa hina untuk menerima dan kedekut untuk memberi.”

- Sedutan Cerpen Syukurlah, Sabarlah, Solatlah.. -

Tuesday, July 17, 2012

Syukurlah, sabarlah, solatlah... (3)

Nazirah melambai tangan kepada Alin yang baru menaiki kereta Proton Wira milik Ayahnya. Dia meneruskan langkah balik ke rumah dengan berjalan kaki. Jarak sekolah dan rumahnya yang sederhana jauh membuatnya mengambil keputusan untuk berjalan kaki sahaja bersama adiknya Atirah untuk tidak menambahkan beban keluarga.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, fikirannya melayang teringatkan masa dia mula-mula memasuki Sekolah Menengah Agama Kampung Pulai. Tidak ada apa yang menyeronokkan di  sekolah kerana dirinya memang seorang yang pemalu. Ditambah pula keadaan fizikalnya yang agak pendek serta wajahnya tidak secantik gadis lain membuatkan sukar untuk dia mendapat kawan.

Bukan bermakna dirinya tidak bersyukur jika beranggapan sebegitu tetapi itulah hakikat dirinya dimata manusia.

“Aku tidak menyalahkan Tuhan kerana mencipta diriku sebegini kerana dimata Tuhan rupa bentuk diriku ini tiada masalah. Cuma manusia sahaja sering menilai manusia lain berdasarkan keadaan rupa bentuk.” Detik Nazirah dalam hati.

“Allah melihat amalan dan hati hambaNya. Bukan rupa bentuk dan harta kekayaan yang banyak”. Nazirah teringat ceramah uztaz Fakhry dalam kelas agama.

Walaupun dia bersekolah di sekolah agama tetapi akhlak sesetengah pelajarnya tidak membanggakan cuma lebih baik sedikit daripada sekolah biasa. Dirinya pernah diejek, ditertawakan dan paling teruk tiada orang sanggup berkawan rapat dengannya semasa dia di tingkatan 1 dan 2.

Sehinggalah dia bertemu Alin di tingaktan 3. Pertemuan yang tidak disengajakan itu menyebabkan dia seronok ke sekolah kerana ada kawan seperti Alin. Dia juga mula menyimpan cita-cita besar untuk sambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi sejak berkawan dengan Alin.

Alin juga satu-satunya rakan tempat dia bergurau senda, meluah perasaan dan membantunya dalam banyak perkara.

“Dialah kawanku dunia akhirat yang aku tidak akan lupa, InsayaAllah.” Getusnya dalam hati sambil tersenyum.

“Kenapa Kak Long tersenyum kambing ni? Teringat Pakwe ke?” Tanya Atirah adik keduanya yang kini belajar di tingkatan 3.

“Haish! Ada ke Kak Cik cakap macam tu. Jangan nak reka cerita ya. Kak Long teringatkan Alin la.” Jawab Nazirah.

“Ooo..Alin memang baik kan? Kak Cik pun suka dia.”

“Emm..”Balas Nazirah sambil tersenyum.

“Ya Allah, kekalkan persahabatan kami ini keranaMU.” Doa Nazirah dalam hati.

Mereka meneruskan perjalan pulang menelusuri jalan kampung sambil menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan.

Sunday, July 15, 2012

Syukurlah, sabarlah, solatlah... (2)

Alin sampai ke sekolah awal pada hari ini kerana ayahnya ada kerja untuk diselesaikan. Semasa menunggu rakan lain tiba ke kelas, dia termenung teringatkan rakan rapatnya itu semasa awal perkenalannya.

Semasa tingkatan 1 mereka tidak sekelas kerana masa itu Alin berada di kelas terakhir disebabkan pendaftaran lewat dan tidak menduduki peperiksaan kemasukan sekolah. Tingkatan 2 mereka dalam kelas yang sama iaitu kelas kedua tetapi tidak rapat dan hanya bertergur sapa sahaja.

Tingkatan 3 mereka sama-sama naik kelas 1 kerana markah cemerlang dalam peperiksaan agama untuk tingkatan 2. Masa itulah mereka duduk bersebelahan kerana tiada tempat kosong lain dan mula berkawan rapat. Kesusahan hidup, rendah diri dan sikap pemalu Nazirah menyebabkan Alin bersimpati dan terus membantu rakannya itu sekadar mampu.

Alin sendiri pun bukan lahir dalam keluarga berada tetapi nasibnya jauh lebih baik berbanding Nazirah.

“Syukur Alhamdulillah.” Getus Alin dalam hati.

Nazirah merupakan anak sulung daripada 7 adik beradik. Keluarganya yang susah itu ditambah beban kesakitan ayahnya yang tidak mampu buat kerja berat. Ayahnya dulu bekerja sebagai tukang rumah. Disebabkan sakit, ayahnya hanya mampu buat kerja ringan dengan pendapatan yang tidak seberapa.

Untuk menampung keluarga, emaknya mula membuat kuih muih yang diletakkan di kedai-kedai dan dijual secara jaja. Dulu ada juga emaknya menjual nasi bungkus kepada pelajar kolej jururawat. Makanan yang sedap dan murah menyebabkan mereka berebut untuk menempah makanan daripada emaknya.

Sekarang pelajar kolej jururawat bercuti lama dan ada praktikal selepas cuti maka pendapatannya banyak merosot.

Tingkatan 4 pula mereka sama-sama turun ke kelas 3 disebabkan keputusan PMR mereka yang tidak cukup bagus. Ditakdirkan tingkatan 5 iaitu sekarang ini, Nazirah bersamanya naik kelas 2 kerana peperiksaan agama tingkatan 4 mendapat keputusan cemerlang. Mungkin Nazirah dan dirinya sama-sama minat menghafal maka tidak mustahil mereka mudah mendapat cemerlang dalam setiap subjek dan peperiksaan agama di sekolah itu.

Tahun ini mereka akan berhadapan dengan peperiksaan besar iaitu SPM. Walaupun dia dan Nazirah merancang untuk mengambil STAM tetapi tumpuan untuk mendapat keputusan cemerlang sangat perlu supaya tidak menghampakan harapan emak dan ayah.

Lamunan Alin diganggu oleh Nazirah yang mengeletek pinggang Alin.

“Oh Monyet!”Latah Alin.

“Hahaha..” Nazirah gelak besar sebab dia tahu Alin mudah melatah bila terkejut dan akan keluar perkataan yang bukan-bukan.

Saturday, July 14, 2012

Syukurlah, sabarlah, solatlah... (1)

Nazirah menghulur bungkusan plastik kepada Alin.

“Apa ni Irah?” Tanya Alin.

“Tolong beli boleh?” Pinta Nazirah.

“Sejak bila pula minat berniaga ni? Kalau awak anggap saya kawan bagi percuma la.” Gurau Alin.

“Bukan saya tak nak bagi, tapi saya sebenarnya tolong emak jual kuih. Kesian saya tengok dia berniaga sorang-sorang untuk sara kami sekeluarga.”

“Saya sebenarnya malu nak jual kat sekolah sebab tu saya mula jual dengan kawan rapat dulu. Awak kan kawan rapat saya.” Tambah Nazirah.

“Berapa harga ni?” Tanya Alin.

“50 sen je sebungkus.”Jelas Nazirah.

“Ok saya beli 2 bungkus.”

“Saya jual. Terima kasih ya Alin.” Sambil tangannya menyimpan duit RM1 kedalam poket.

“Jom kita makan sama-sama kuih ni bersama bekal yang emak saya bagi.” Ajak Alin.

“Eh takpelah Alin, saya cukup dengan minum air jer. Lagipun saya nak jual lagi 8 bungkus ni.”

“Tak seronok la makan sorang-sorang. Jom la teman saya makan lepas tu saya tolong awak jual kuih ni nanti.” Rayu Alin.

Nazirah tidak berkata apa sambil dia terus minum air kosong yang dibawa dari rumah.

“Kalau awak anggap saya kawan rapat maka awak kena makan dengan saya. Susah senang kita bersama la. Lagipun kita baru belajar sirah Rasulullah kan. Rasululah suka bantu orang dalam keadaan susah, jadi saya pun nak buat macam tu lah.” Rayu Alin lagi.

“Ok la kalau macam tu, tapi saya hanya makan bekal emak awak sebab malulah saya nak makan karipap yang saya jual ni.” Gurau Nazirah sambil tersenyum.

“Eh, ada ke saya cakap nak kongsi makan karipap ni? Kuih karipap memang saya suka tau. Tambahan kalau emak awak buat mesti sedap.”

Mereka berdua terus gelak sambil makan bersama.