“Allah menguji hambanya dengan ujian kesusahan dan keperitan hidup adalah untuk menjadikan mereka itu lebih kuat berjiwa kental. Allah juga memberi kesenangan kepada sesetengah hambanya adalah supaya mereka dapat membantu hamba lain yang susah. Jadi jangan terasa hina untuk menerima dan kedekut untuk memberi.”

- Sedutan Cerpen Syukurlah, Sabarlah, Solatlah.. -

Sunday, July 15, 2012

Syukurlah, sabarlah, solatlah... (2)

Alin sampai ke sekolah awal pada hari ini kerana ayahnya ada kerja untuk diselesaikan. Semasa menunggu rakan lain tiba ke kelas, dia termenung teringatkan rakan rapatnya itu semasa awal perkenalannya.

Semasa tingkatan 1 mereka tidak sekelas kerana masa itu Alin berada di kelas terakhir disebabkan pendaftaran lewat dan tidak menduduki peperiksaan kemasukan sekolah. Tingkatan 2 mereka dalam kelas yang sama iaitu kelas kedua tetapi tidak rapat dan hanya bertergur sapa sahaja.

Tingkatan 3 mereka sama-sama naik kelas 1 kerana markah cemerlang dalam peperiksaan agama untuk tingkatan 2. Masa itulah mereka duduk bersebelahan kerana tiada tempat kosong lain dan mula berkawan rapat. Kesusahan hidup, rendah diri dan sikap pemalu Nazirah menyebabkan Alin bersimpati dan terus membantu rakannya itu sekadar mampu.

Alin sendiri pun bukan lahir dalam keluarga berada tetapi nasibnya jauh lebih baik berbanding Nazirah.

“Syukur Alhamdulillah.” Getus Alin dalam hati.

Nazirah merupakan anak sulung daripada 7 adik beradik. Keluarganya yang susah itu ditambah beban kesakitan ayahnya yang tidak mampu buat kerja berat. Ayahnya dulu bekerja sebagai tukang rumah. Disebabkan sakit, ayahnya hanya mampu buat kerja ringan dengan pendapatan yang tidak seberapa.

Untuk menampung keluarga, emaknya mula membuat kuih muih yang diletakkan di kedai-kedai dan dijual secara jaja. Dulu ada juga emaknya menjual nasi bungkus kepada pelajar kolej jururawat. Makanan yang sedap dan murah menyebabkan mereka berebut untuk menempah makanan daripada emaknya.

Sekarang pelajar kolej jururawat bercuti lama dan ada praktikal selepas cuti maka pendapatannya banyak merosot.

Tingkatan 4 pula mereka sama-sama turun ke kelas 3 disebabkan keputusan PMR mereka yang tidak cukup bagus. Ditakdirkan tingkatan 5 iaitu sekarang ini, Nazirah bersamanya naik kelas 2 kerana peperiksaan agama tingkatan 4 mendapat keputusan cemerlang. Mungkin Nazirah dan dirinya sama-sama minat menghafal maka tidak mustahil mereka mudah mendapat cemerlang dalam setiap subjek dan peperiksaan agama di sekolah itu.

Tahun ini mereka akan berhadapan dengan peperiksaan besar iaitu SPM. Walaupun dia dan Nazirah merancang untuk mengambil STAM tetapi tumpuan untuk mendapat keputusan cemerlang sangat perlu supaya tidak menghampakan harapan emak dan ayah.

Lamunan Alin diganggu oleh Nazirah yang mengeletek pinggang Alin.

“Oh Monyet!”Latah Alin.

“Hahaha..” Nazirah gelak besar sebab dia tahu Alin mudah melatah bila terkejut dan akan keluar perkataan yang bukan-bukan.

No comments: