“Allah menguji hambanya dengan ujian kesusahan dan keperitan hidup adalah untuk menjadikan mereka itu lebih kuat berjiwa kental. Allah juga memberi kesenangan kepada sesetengah hambanya adalah supaya mereka dapat membantu hamba lain yang susah. Jadi jangan terasa hina untuk menerima dan kedekut untuk memberi.”

- Sedutan Cerpen Syukurlah, Sabarlah, Solatlah.. -

Monday, October 7, 2013

Kejutan di Lebuh Raya

Jamuan hari raya dan jemputan makan adalah perkara yang tidak pernah aku dan Halim tolak.

Orang bujang yang sudah bosan makan di kedai makan memang gilakan masakan di rumah. Pantang jemput mesti datang.

Bukan bermakna makan di kedai tidak sedap tetapi ada satu kelainan tentang masakan di rumah. Tambahan pula kalau masakan itu mendapat sentuhan air tangan orang tua. Memang makan bertambah jawabnya.

Malu? Bagi orang lelaki, tiada apa yang mahu dimalukan dengan status makan banyak. Malah, tabiat ini telah menjadi kebanggaan dikalangan kami.

"Lim, Ke mana destinasi jalan-jalan cari makan kita minggu ini?" tanya aku yang duduk di kerusi sebelah pemandu.

"Rumah Lina di Segamat. Ada kenduri Akikah anak saudara dia," jawab Halim.

Setiap hujung minggu kalau tiada kerja lain memang kami merancang untuk jalan-jalan ke rumah kawan lama dan baru. Terutama kawan lelaki yang baru kahwin.

Ayat kami biasanya:
"Isteri sudah ada, bila mahu ajak kami makan di rumah? Ajak makan luar orang tidak sudi mentang-mentang sudah ada teman baru."

Biasanya ayat macam itu akan terkena jaring dan kami akan diajak makan di rumah pada hujung minggu.

Kali ini 2 rumah kami akan tuju. Hari ini iaitu sabtu di rumah Lina dan esok ahad di rumah kawan Halim masa sekolah. Malam ini kami tidur hotel.

Dari sudut kewangan memang akan keluar duit lebih sedikit. Bayangkan minggu ini kami bertolak daripada rumah kami di Nilai ke Segamat. Tol dan minyak sahaja sudah boleh tampung kami makan 2 hari.

Tetapi untuk aku dan Halim memang sekepala dalam bab ini iaitu kami tidak kisah pasal duit asalkan boleh berjalan-jalan merantau seluruh ceruk Malaysia untuk cari pengalaman kenal tempat orang.

Nanti senang bawa isteri berjalan-jalan apabila sudah kahwin kelak. Lagipun masa muda inilah ingin bergerak bebas. Tanggungan tidak seberapa.

Mujurnya juga pendapatan bulanan kami berdua agak mewah kerana syarikat ada sistem komisyen di atas setiap kejayaan projek yang kami seliakan selain daripada gaji tetap.

Tanggungan bulanan aku secara tetap hanya bayaran rumah sewa, bil dan duit untuk emak ayah di kampung. Pergi kerja naik motor dan Halim akan tumpang aku. Tidak sanggup naik kereta meredah kesesakan setiap hari. Aku lebih rela basah dek hujan.

Halim ada memiliki kereta Perodua Myvi jadi berjalan hujung minggu aku hanya tumpang kereta Halim.

Paling menarik aku dan Halim berasal dari negeri yang sama iaitu Perlis. Kerja pula satu pejabat. Apa-apa memang jimat berkongsi.

Kami meredah Lebuhraya Utara-Selatan untuk ke Segamat. Kami berdua tidak pernah ke Segamat sebelum ini.

Ketika kami mengambil susur keluar Tangkak untuk ke Segamat dan masa itu kami pandu perlahan sebab ada selekoh.

Mata kami tertumpu kepada seorang gadis yang sedang bergaduh dengan seorang lelaki.

Ada nampak sebuah motor berdekatan mereka.

Gadis dan lelaki itu nampak muda dalam linkungan belasan tahun. semasa kami lalu melintasi mereka, dilihat lelaki itu cuba menarik gadis itu secara paksa ke arah pokok-pokok yang ditamam sepanjang tepi lebuh raya.

Gadis itu melawan dan menjerit. Kami yang berkereta terus berhenti di hadapan tidak jauh daripada tempat tadi.

Halim mengajak aku untuk keluar membantu tetapi aku membantah kerana teringat pesan abah supaya jangan mudah menolong orang dizaman sekarang.

"Kita tunggu, lihat dan cuba tengok kawasan sekeliling," cadang aku kepada Halim.

"Aku kurang fahamlah dengan cadangan engkau. Gadis itu macam hendak dorogol. Temankan aku keluar selamatkan gadis itu. Kita bawa gadis itu ke balai polis," kata Halim dengan tegas.

"Abah aku ada pesan jangan mudah bantu orang, kena tengok keadaan dulu. Mana tahu mereka itu berlakon sebagai umpan untuk merompak kita. Mungkin ada kawan-kawan mereka bersembunyi disebalik pokok-pokok di tepi jalan."

"Apa candangan engkau?" tanya Halim.

"Kita hubungi polis," jawab aku ringkas.

"Ok, engkau hubungi polis dan aku bersedia untuk pecut kereta jika nampak ada orang nak serbu kereta kita," balas Halim.

Aku terus mengambil Samsung Galaxy S3 dan tekan nombor 999.

"Hallo, boleh saya bantu?" dengar suara wanita di hujung talian.

"Saya ingin membuat laporan, saya nampak ada seorang gadis macam mahu dirogol di Lebuhraya Utara-Selatan susur keluar ke Tangkak sebelum tol. Saya sedang menuju ke Segamat," lapor aku.

"Mereka macam mahu bergerak. Gadis tadi ikut bonceng motor dengan lelaki tadi." kata Halim.

Pasangan tadi melepasi kereta kami dengan motor mereka.

"Cik, pasangan tadi sudah meninggalkan tempat kejadian. Mungkin mereka perasan kami berada di sini. Tadi memang nampak lelaki itu macam paksa wanita itu masuk ke dalam semak dan motor ditinggalkan di tepi jalan," lapor aku lagi.

"Nanti kami minta pasukan polis berdekatan untuk meronda di kawasan itu. Ada apa-apa lagi untuk dilaporkan?"

"Itu sahaja, terima kasih Cik," jawab aku.

Halim menekan pedal minyak dan kereta kami bergerak mengekori motor tadi. Lelaki tadi pandu perlahan dan wanita itu diam di belakang.

Jangkaan kami mungkin wanita itu sebenarnya kekasih lelaki tadi. Kereta kami terpaksa melintas motor itu kerana kami ada destinasi lain ingin dituju.

Sampai sekarang pelbagai andaian kami buat tentang apa yang mungkin terjadi. Apa pun kesimpulan yang kami setuju ialah masalah sosial sekarang semakin teruk melanda negara.

Sebenarnya tidak salah untuk berseronok asalkan masih berlandaskan agama dan adat kita orang Melayu Islam. Kami sekarang ini pun sedang berseronok.

1 comment:

zulhilmi tempoyak said...

samaada tahu atau tak tahu wanita tu..