“Allah menguji hambanya dengan ujian kesusahan dan keperitan hidup adalah untuk menjadikan mereka itu lebih kuat berjiwa kental. Allah juga memberi kesenangan kepada sesetengah hambanya adalah supaya mereka dapat membantu hamba lain yang susah. Jadi jangan terasa hina untuk menerima dan kedekut untuk memberi.”

- Sedutan Cerpen Syukurlah, Sabarlah, Solatlah.. -

Thursday, October 3, 2013

Syukurlah, sabarlah, solatlah... (4)

"Apa? Makan nasi goreng air? Macam mana rupa dan rasanya?" tanya Alin kehairanan.

"Rasanya macam nasi goreng tetapi rupanya macam nasi air."

"Jadi macam itu sebab saya terlebih masukkan air. Saya penat dan lapar sangat semalam sebab itu boleh tersilap. Lagipun saya biasa masak untuk ramai orang makan tetapi semalam untuk saya seorang sahaja." cerita Nazirah.

"Awak tidak makan malam bersama keluarga yang lain?" tanya Alin lagi.

"Saya akan tolong emak menjual dan membungkus makan malam untuk pelajar kolej jururawat terlebih dahulu. Biasanya selepas siap semua kerja, baru saya makan bersama emak. Tetapi semalam, emak penat sangat jadi dia minta diri untuk masuk tidur awal."

"Emak ada pesan suruh saya masak apa yang ada sebab tiada makanan lebih hasil jualan. Jadi saya pilih untuk masak nasi goreng sebab senang hanya perlu campak apa yang ada." cerita Nazirah bersungguh.

"Ada lagi cerita lucu?" tanya Alin dengan muka tersengih.

"Ada." jawan Nazirah sambil tangannya mengeletek pinggang Alin.

"Minggu lepas hari khamis masa kita berpakat untuk berpuasa."

"Kenapa dengan hari itu?" tanya Alin lanjut.

"Biasanya selepas sampai rumah daripada sekolah, kami adik beradik akan makan. Sebab saya puasa jadi saya terus masuk bilik dan tertidur."

"Selepas bangun dan solat asar saya sambung buat kerja sekolah. Minggu lepas emak tidak jual nasi sebab pelajar kolej jururawat masih bercuti."

"Dekat dengan masuk waktu maghrib saya masuk ke dapur untuk berbuka puasa."

"Jeng... jeng... jeng..." sambil Nazirah gelak.

"Janganlah buat saya berdebar, macam cerita hantu pula." marah Alin.

"Lauk semua habis tinggal kuah sayur air sahaja. Jadi saya pun berbuka puasa dengan nasi dan kuah sahaja."

"Malam kami biasa makan ringan sahaja waktu emak tidak menjual sebab pelajar kolej cuti. Jadi hari itu saya kenyang dengan nasi dan kuah sahaja."

"Lucu kan?" tanya Nazirah.

Alin hanya mampu buat-buat senyum sahaja.

"Ini bukan cerita lucu tetapi sedih." getusnya dalam hati.

Kalau dia berada di tempat Nazirah mesti dia mengamuk seluruh rumah sebab makanan habis tambahan pula waktu dia puasa.

Tetapi bagi Nazirah itu cerita lucu dan mampu redha dengan makan apa yang ada tanpa rasa marah.

Dia sedar yang tidak semua orang bernasib baik sepertinya iaitu boleh makan enak setiap hari.

Kalau di rumah, jika makanan habis ibunya akan terus masak lain malah siap bertanya apa makanan yang dia mahu makan. Kalau malas masak ibunya akan suruh ayahnya beli di luar.

Zaman yang penuh moden ini masih ada keluarga yang hidup susah. Dulu Alin ingat dialah yang paling susah sebab rumahnya tidak besar dan kereta ayahnya tidak baru lagi mewah.

Rupanya ada orang lagi susah.

No comments: