“Allah menguji hambanya dengan ujian kesusahan dan keperitan hidup adalah untuk menjadikan mereka itu lebih kuat berjiwa kental. Allah juga memberi kesenangan kepada sesetengah hambanya adalah supaya mereka dapat membantu hamba lain yang susah. Jadi jangan terasa hina untuk menerima dan kedekut untuk memberi.”

- Sedutan Cerpen Syukurlah, Sabarlah, Solatlah.. -

Friday, October 4, 2013

Syukurlah, sabarlah, solatlah... (5)

"Sebulan hanya berlaukkan ikan bilis? Biar betul." terdetik soalan simpati dalam hati Alin apabila teringatkan perbualan dia dengan Nazirah pada bulan puasa tahun lepas.

Hatinya mesti sebak setiap kali teringat cerita itu.

Hari pertama puasa...

"Hari ini berbuka puasa dengan apa? mesti sedap kan sebab hari ini hari pertama kita puasa." tanya Alin kepada Nazirah.

"Tak pastilah apa emak masak hari ini."

"Ibu kat rumah mesti masak istimewa hari ini, tak sabarnya nak berbuka puasa." Alin bercerita dengan muka lapar.

Nazirah hanya mampu tersenyum hambar.

Hari kedua puasa...

"Semalam berbuka dengan apa?"tanya Alin.

"Emak masak nasi goreng ikan bilis. Memang sedap!" jawab Nazirah.

Hari ketiga puasa...

"Irah iftar dengan apa semalam?"tanya Alin.

"Dengan mulut!" jawab Nazirah ringkas.

"Kita tanya serius ni." marah Alin.

"Menu iftar saya semalam nasi lemak." jawab Nazirah.

"Sedapnya." sambung Alin dengan muka lapar.

Hari keempat puasa...

"Semalam saya berbuka di restoren dengan keluarga. Ayah buat kejutan untuk ibu. Romantik betul." cerita Alin.

"Awak berbuka dengan apa semalam?" sambung Alin.

"Awak ni asyik tanya soalan sama setiap hari. Malas saya nak jawab." Jawab Nazirah dengan muka merajuk.

"Saya tanya sebab ambil berat dengan rakan baik, mana tahu awak tak makan ke." licik Alin menjawab.

"Semalam kacang botol goreng ikan bilis." jawab Nazirah lagi.

"Lauk?"

"Itu termasuk dalam kategori sayur kan, lauk apa? ayam? ikan? telur?" soal Alin dengan serius.

"Itulah lauk saya semalam. Ikan bilis itu kan ikan juga." jawab Nazirah tegas.

"Kenapa menu awak asyik ikan bilis sahaja? Hari tu, masa awak berbuka dengan nasi lemak mesti ada lauk telur kan?" soal Alin lagi.

"Ikan bilis dan sambal cukuplah syarat nasi lemak. Tidak semestinya ada telur. Saya bersyukur sekurang-kurangnya saya masih ada nasi, ikan bilis dan minyak untuk masak. Ada orang nak makan nasi pun tiada." cerita Nazirah lanjut.

Alin terus berlari keluar kelas.

"Alin, awak pergi mana?"jerit Nazirah.

Alin tidak hiraukan jeritan Nazirah dan terus masuk ke dalam tandas. Dia menangis sepuas-puasnya.

Dia rasa menyesal sebab setiap hari dia bercerita kepada Nazirah tentang makanan berbukanya yang lazat, banyak dan enak sampai kadang-kadang tidak habis dan terpaksa buang begitu sahaja.

Sedangkan kawan rapatnya berbuka hanya berlaukkan ikan bilis!

No comments: