“Allah menguji hambanya dengan ujian kesusahan dan keperitan hidup adalah untuk menjadikan mereka itu lebih kuat berjiwa kental. Allah juga memberi kesenangan kepada sesetengah hambanya adalah supaya mereka dapat membantu hamba lain yang susah. Jadi jangan terasa hina untuk menerima dan kedekut untuk memberi.”

- Sedutan Cerpen Syukurlah, Sabarlah, Solatlah.. -

Thursday, September 22, 2016

Lembu Sado Terengganu

Nama aku Wafi dan berada di tingkatan 2. Aidiladha tahun ini aku rasakan kosong berbanding tahun lepas. Hari raya zaman kanak-kanak memang seronok. Apabila makin besar dan tanggungjawab makin bertambah aku mula rasa tidak seronok.

Mana tidaknya masa kecil setiap kali cuti terutama perayaan dalam kepala hanya main dan main. Sangat jarang disuruh itu dan ini oleh ibu ayah mungkin kerana fizikal masih kecil.

Apabila sudah meningkat dewasa masuk sekolah menengah fizikal mula bertambah besar dan tanggungjawab juga bertambah. Khidmat tubuh muda sentiasa diperlukan keluarga.

Raya haji tahun lepas aku sudah mula diberi tanggungjawab menguruskan lembu yang disembelih. Paling aku tidak suka ialah basuh perut lembu. Argh, Busuk!

Tahun ini ayah ada kerja raya pertama. Raya kedua baru dapat cuti jadi kami sekeluarga bertolak balik kampung ibu pada hari raya kedua.

Ibu aku kerja cikgu jadi tiada masalah cuti memandangkan sekarang musim cuti sekolah.

Kami bertolak seawal jam 7 pagi daipada rumah di Klang ke kampung ibu di Jerteh, Terengganu.

Nasib baik aku tiada lesen kereta jadi tidak perlu memandu. Jadi sepanjang perjalanan aku sambung tidur sambil dengan muzik. 

Sampai di suatu tempat aku dikejutkan oleh ibu suruh keluar daripada kereta.

"Dah sampai ke ibu?" tanya aku.

"Belum lagi, ayah ajak pergi satu tempat" jawab ibu dengan bersungguh.

"Malasnya nak pergi" aku merungut dalam hati.

Oleh sebab semua turun dan tidak mahu berpanas dalam kereta aku ikut sahaja mereka.

Sampai di satu tempat aku tengok orang sangat ramai berkumpul mengerumuni sesuatu.

Aku terus berasak ke depan untuk tengok apa yang sedang berlaku.

Alangkah terkejutnya aku melihat seekor lembu yang besar dan nampak gagah. Ototnya nampak berketul-ketul.

Kalau lelaki berketul-ketul digelar abang Sado mungkin lembu gagah ini boleh dipanggil lembu Sado.

Aku tertanya-tanya macam mana lembu sebesar ini disembelih.

Perasaan asalnya aku bosan sekarang mula diresapi perasaan teruja dengan apa yang terhidang depan mata.

Aku tengok semua orang termasuk ayah dan ibu sibuk merakam detik yang unik ini.

Memang mendebarkan menunggu saat lembu Sado ini disembelih.

Dengan bantuan berbelas orang lembu ini akhirnya berjaya direbahkan.

Aku yang sebelum ini kurang berminat melihat lembu disembelih mula tidak berkelip mata melihatnya.

Saat takbir dilaungkan darah memercik keluar daripada leher lembu Sado itu. Lelaki-lelaki yang memegang lembu Sado tadi melepaskannya yang mengelupar melepaskan sisa nyawa yang ada.

Saat yang mendebarkan sudah berakhir.

Dalam hati, aku sangat berterima kasih kepada ayah kerana mengembirakan hati ini dengan persembahan lembu sado ini.

Di saat itu aku mula sedar yang kegembiraan dan keterujaan hidup ini perlu dicipta bukan mengharap diberi kepada kita. Jika tidak hidup kita akan rasa kosong dan bosan tanpa tujuan.

Mulai saat itu juga aku nekad untuk mencipta sebanyak mungkin memori indah mengembirakan hati orang sekeliling.

"Ya aku perlu cipta!"

No comments: