“Allah menguji hambanya dengan ujian kesusahan dan keperitan hidup adalah untuk menjadikan mereka itu lebih kuat berjiwa kental. Allah juga memberi kesenangan kepada sesetengah hambanya adalah supaya mereka dapat membantu hamba lain yang susah. Jadi jangan terasa hina untuk menerima dan kedekut untuk memberi.”

- Sedutan Cerpen Syukurlah, Sabarlah, Solatlah.. -

Wednesday, September 21, 2016

Rahmat Perginya Seorang Ulama

Zali termenung seketika selepas mendapat kepastian berita yang dibaca melalui Aplikasi Whatsapp.

Berita itu berkenaan pemergian seorang ulama yang tersohor.

Ada sedikit rasa sedih dan sebak kerana ulama itu dikenalinya melalui ceramah di Youtube dan TV satu ketika dahulu.

Jarang Zali sedih dengan pemergian ulama sebelum ini kerana mungkin beliau tidak kenal malah tidak pernah dengar pun nama mereka. Zali bukan penuntut ilmu agama yang serius sampai pergi ke pondok menuntut ilmu seperti sesetengah orang.

Cukuplah sekadar perbaiki diri melalui ceramah-ceramah di TV dan Youtube.

Tidak kenal maka tidak cinta, mungkin sebab itu pemergian ulama kali ini terkesan pada Zali.

Zali ada terbaca status di Facebook berkenaan dunia semakin kehilangan alim ulama. Pemergian seorang ulama seolah-olah bakal membawa satu bencana.

Bagi Zali kehebatan ulama itu semasa hidupnya memberi manfaat kepada ramai orang begitu juga selepas kematiannya.

Pemergian ulama kali ini betul-betul buat Zali termenung memikirkan persoalan, “Di mana aku?”

Ya, sekurang-kurangnya ulama itu sudah pasti matinya dalam islam malah dihari jumaat.

Kerisauan dihati itu membuatkan dirinya sedar akan kealpaan mengejar dunia selama ini.

Sekarang hatinya nekad untuk meluangkan masa setiap hari mengejar akhirat walaupun sedetik. Masa itu pula betul-betul diluangkan untuk berkomunikasi dengan Pencipta alam ini.

Selepas dia nekad untuk selangkah dekati Pencipta, solatnya mula dirasakan khusyuk, hatinya lebih tenang, bebanan kerja di pejabat yang tidak pernah surut dirasakan seronok.

Ini semua penangan hasil persepsi tentang kehidupan berubah. Persepsi ini berubah selepas diri Zali berhenti seketika untuk berfikir mencari jawapan kepada soalan, “Di mana aku?”

Itulah yang dikatakan pemergian seorang ulama membawa rahmat. Selepas kematiannya pun manusia masih lagi terasa bahang keinsafan.

“Alhamdulillah, terima kasih Allah, terima kasih ulama. Al-Fatihah…”, luah Zali dalam hati.

No comments: